21 February 2012

Messi 'mengamuk' di Nou Camp

MADRID - Lionel Messi garang meledak empat gol untuk menjulang Barcelona melakar kemenangan besar 5-1 ke atas Valencia di Nou Camp semalam, namun penyandang juara La Liga itu masih jauh ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Real Madrid.

Tambahan gol daripada Messi yang membuat penampilan ke-200 untuk kelabnya itu menjadikan jumlah kutipan gol musim ini kepada 27 dalam liga dan 42 untuk kesemua pertandingan.
Valencia terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan pembukaan Pablo Piatti yang menghukum kealpaan Martin Montoya dan Gerrard Pique apabila mudah menolak masuk hantaran lintang Sofiane Feghouli.

Penyokong tuan rumah lega tidak lama kemudian apabila wira sanjungan mereka, Messi membolosi gawang lawan dua kali dalam tempoh lima minit.

Adil Rami gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan peluang itu tidak disia-siakan Messi untuk melakukan penyudah dari sudut sukar.

Bintang Argentina itu kemudian meletakkan Barca di depan apabila lincah melepasi kawalan pertahanan Valencia untuk menyambut hantaran lintang Eric Abidal dan walaupun penjaga gol, Diego Alves pada awalnya berjaya menepis cubaannya, Messi pantas menyambar bola dan menolak semula ke dalam gawang.

Barca yang kembali menguasai permainan terus mencari gol tambahan dan peluang terbaik hadir menerusi Alexis Sanchez dan Cesc Fabregas, namun tidak berhasil angkara ketangkasan Alves.

Kebuntuan jaringan berjaya diakhiri jua menerusi Messi yang melengkapkan hatrik, gol keempat perlawanan ketika permainan masih berbaki 15 minit.

Pemain gantian, Xavi Hernandez melengkapkan derita Valencia dengan gol kelima pada waktu kecederaan.

Jurulatih Barca, Pep Guardiola menabik persembahan lima bintang pasukannya dan berkata, mereka tidak sepatutnya ketinggalan jauh dalam perebutan gelaran liga.

"Dengan kualiti bola sepak yang kami pamerkan, kami tidak berhak berada jauh di belakang, namun cabaran kami kini ialah memastikan perebutan gelaran masih terbuka,'' katanya. - AFP

sumber:Utusan Online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...