21 February 2012

Tebus maruah negara: Kim Swee

“WALAUPUN sudah tidak berpeluang ke Sukan Olimpik London tahun ini, kemenangan ke atas Jepun pasti akan kekal dalam sejarah bola sepak negara!”
Itulah kata-kata perangsang Ong Kim Swee kepada anak buahnya menjelang perlawanan kedua terakhir kelayakan Olimpik 2012 Kumpulan C bertemu Jepun di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Sedar jurang dengan gergasi Asia itu masih jauh, Kim Swee berharap anak buahnya akan cuba memperbaiki permainan selepas kekalahan 0-2 di Jepun pada perlawanan pertama lalu. 

“Kita perlu realistik dengan kemampuan kita, tetapi tidak mustahil mengutip sekurang-kurangnya satu mata di laman sendiri. Dengan sokongan padu penonton, saya pasti pemain akan lebih bersemangat,” kata Kim Swee. 

“Sepanjang sesi latihan, saya nampak keazaman pemain untuk menebus maruah negara selepas empat kekalahan berturut-turut dalam peringkat kelayakan ini. Apa yang saya harapkan ialah mereka mengekalkan tumpuan hingga tamat permainan." 

Kim Swee yakin pengalaman dikutip menerusi enam perlawanan berprofil tinggi dalam kelayakan ini mampu meningkatkan prestasi pasukan menjelang saingan kelayakan Piala AFC Bawah 22 yang julung kali dipertandingkan badan induk bola sepak Asia. 
“Dengan pengalaman yang dikutip pemain muda dalam dua kejohanan - Sukan SEA dan kelayakan Olimpik 2012 - saya pasti kita berpeluang meraih kejayaan pada saingan itu nanti,” kata Kim Swee selepas sesi latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. 

Pada perlawanan esok, Kim Swee bakal kehilangan khidmat Gary Steven Robbat dan Wan Zack Haikal Wan Nor yang digantung perlawanan, serta Ahmad Hazwan Bakri yang cedera otot paha. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...