22 January 2012

TRW kekal di puncak liga super

Terengganu menang, The Red Warriors kekal kuasai puncak Liga Super 

HAJAT T-Team merampas semula takhta Liga Super daripada Kelantan menemui jalan buntu, malam tadi apabila tewas 1-2 kepada pasukan abang, Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Dua jaringan pemain import, Francis Forkey Doe mencipta ceria buat skuad Penyu pimpinan Mat Zan Mat Aris walaupun lawan – yang mendahului pada babak pertama – tetap memberi saingan sehingga ke wisel penamat.
T-Team hanya memerlukan 12 minit untuk membuka tirai jaringan apabila ketua pasukan, Zairo Anuar Zailani menyempurnakan sepakan penalti. 

Tersentak, Terengganu tidak menunggu lama untuk melancarkan serangan balas dan hasilnya penyerang import mereka, Forkey Doe berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-20 juga menerusi sepakan penalti. 

Selepas rehat, penonton sekali lagi disajikan dengan serangan merbahaya namun ketumpulan jentera serangan kedua-dua pasukan membataskan usaha menambah jumlah jaringan gol. 

Skuad kendalian Yunus Aliff yang terpaksa beraksi 10 pemain tetap menunjukkan semangat melawan dengan melancarkan serangan ke gawang lawan namun mudah dipatahkan barisan pertahan Terengganu. 
Keputusan pihak pengurusan Terengganu menawarkan khidmat untuk Forkey Doe untuk saingan musim ini kini mula memberikan pulangan apabila pemain itu sekali lagi merobek gawang T-Team pada minit ke-59 untuk mengesahkan mata penuh untuk juara Piala FA itu. 



sumber:Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...